Dari Usman bin Affan bin
Dahaak bin Muzahim daripada Abbas r.a., bapa saudara Nabi ﷺ dari
Rasulullah ﷺ telah bersabda : “Aku adalah orang (manusia) yang paling
awal dibangkitkan dari kubur pada hari kiamat yang tiada kebanggaan.
Bagiku ada syafaat pada hari kiamat yang tiada kemegahan. Bendera pujian
di tanganku dan nabi-nabi keseluruhannya berada di bawah benderaku.
Umatku adalah umat yang terbaik. Mereka adalah umat yang pertama dihisab
sebelum umat yang lain. Ketika mereka bangkit dari kubur, mereka akan
mengibas (membuang) tanah yang ada di atas kepala mereka. Mereka semua
akan berkata: “Kami bersaksi bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan kami
bersaksi bahawa Muhammad itu Rasulullah. Inilah yang telah dijanjikan
oleh Allah سبحانه وتعالى serta dibenarkan oleh para rasul.”
Ibnu Abbas r.a berkata:
“Orang yang pertama dibangkitkan dari kubur di hari kiamat ialah
Muhammad ﷺ. Malaikat Jibril a.s. akan datang kepadanya bersama seekor
Buraq. Malaikat Israfil pula datang dengan membawa bersama bendera dan
mahkota. Malaikat Izrail pula datang dengan membawa bersamanya
pakaian-pakaian syurga.”
Malaikat Jibril a.s. akan menyeru: “Wahai dunia! Di mana kubur Muhammad ﷺ ?”
Bumi akan berkata:
“Sesungguhnya, Tuhanku telah menjadikan aku hancur. Telah hilang segala
lingkaran, tanda dan gunung-ganangku. Aku tidak tahu di mana kubur
Muhammad ﷺ .”
Rasulullah ﷺ bersabda:
“Lalu diangkatkan tiang-tiang dari cahaya dari kubur Nabi Muhammad ﷺ ke
awan langit. Maka, empat malaikat berada di atas kubur.”
Malaikat Israfil bersuara: “Wahai roh yang baik! Kembalilah ke tubuh yang baik!”
Maka, kubur terbelah
dua. Pada seruan yang kedua pula, kubur mula terbongkar. Pada seruan
yang ketiga, ketika Rasulullah ﷺ berdiri, Baginda ﷺ telah membuang tanah
di atas kepala dan janggut baginda ﷺ. Baginda ﷺ melihat kanan dan kiri.
Baginda ﷺ dapati, tiada lagi bangunan. Baginda ﷺ menangis sehingga
mengalir air matanya ke pipi.
Malaikat Jibril as
berkata kepadanya: “Bangun wahai Muhammad! Sesungguhnya kamu di sisi
Allah سبحانه وتعالى di tempat yang luas.”
Baginda ﷺ bertanya, “Kekasihku Jibril! Hari apakah ini?”
Malaikat Jibril a.s.
menjawab: “Wahai Muhammad! Janganlah kamu takut! Inilah hari kiamat.
Inilah hari kerugian dan penyesalan. Inilah hari pembentangan Allah
سبحانه وتعالى.”
Baginda ﷺ bersabda: “Kekasihku Jibril! Gembirakanlah aku!”
Malaikat Jibril as. berkata: “Apakah yang kamu lihat di hadapanmu?”
Baginda ﷺ bersabda: “Bukan seperti itu pertanyaanku.”
Malaikat Jibril a.s. berkata: “Adakah kamu tidak melihat bendera kepujian yang terpacak di atasmu?”
Baginda ﷺ bersabda: “Bukan itu maksud pertanyaanku. Aku bertanya kepadamu akan umatku. Di mana perjanjian mereka?”
Malaikat Jibril a.s. berkata: “Demi keagungan Tuhanku! Tidak akan terbongkar oleh bumi daripada manusia, sebelummu?”
Baginda ﷺ bersabda: “Nescaya akan, kuatlah pertolongan pada hari ini. Aku akan mensyafaatkan umatku.”
Malaikat Jibril a.s. berkata kepada baginda ﷺ : “Tungganglah Buraq ini wahai Muhammad ﷺ dan pergilah ke hadapan Tuhanmu!”
Malaikat Jibril a.s.
datang bersama Buraq ke arah Nabi Muhammad ﷺ . Buraq cuba meronta-ronta.
Malaikat Jibril as berkata kepadanya: “Wahai Buraq! Adakah kamu tidak
malu dengan makhluk yang paling baik dicipta oleh Allah سبحانه وتعالى?
Sudahkah Allah سبحانه وتعالى perintahkan kepadamu agar mentaatinya?”
Buraq berkata: “Aku tahu
semua itu. Akan tetapi, aku ingin dia mensyafaatiku agar memasuki
syurga sebelum dia menunggangku. Sesungguhnya, Allah سبحانه وتعالى akan
datang pada hari ini di dalam keadaan marah. Keadaan yang belum pernah
terjadi sebelum ini.”
Baginda ﷺ bersabda kepada Buraq: “Ya! Sekiranya kamu berhajatkan syafaatku, nescaya aku memberi syafaat kepadamu.”
Setelah berpuas hati,
Buraq membenarkan baginda ﷺ menunggangnya lalu dia melangkah. Setiap
langkahan Buraq sejauh pandangan mata. Apabila Nabi Muhammad ﷺ berada di
Baitul Maqdis di atas bumi dari perak yang putih, malaikat Israfil as
menyeru: “Wahai tubuh-tubuh yang telah hancur, tulang-tulang yang telah
reput, rambut-rambut yang bertaburan dan urat-urat yang terputus-putus!
Bangkitlah kamu dari perut burung, dari perut binatang buas, dari dasar
laut dan dari perut bumi ke perhimpunan Tuhan yang Maha Perkasa.”
Roh-roh telah diletakkan
di dalam tanduk atau sangkakala. Di dalamnya ada beberapa tingkat
dengan bilangan roh makhluk. Setiap roh, akan didudukkan berada di dalam
tingkat. Langit di atas bumi akan menurunkan hujan dari lautan
kehidupan akan air yang sangat pekat seperti air mani lelaki.
Daripadanya, terbinalah tulang-tulang. Urat-urat memanjang. Daging kulit
dan bulu akan tumbuh. Sebahagian mereka akan kekal ke atas sebahagian
tubuh tanpa roh.
Allah سبحانه وتعالى
berfirman: “Wahai Israfil! Tiup sangkakala tersebut dan hidupkan mereka
dengan izinKu akan penghuni kubur. Sebahagian mereka adalah golongan
yang gembira dan suka. Sebahagian dari mereka adalah golongan yang
celaka dan derita.”
Malaikat Israfil a.s.
menjerit: “Wahai roh-roh yang telah hancur! Kembalilah kamu kepada
tubuh-tubuh mu. Bangkitlah kamu untuk dikumpulkan di hadapan Tuhan
semesta alam.”
Allah سبحانه وتعالى berfirman: “Demi keagungan dan ketinggianKu! Aku kembalikan setiap roh pada tubuh-tubuhnya!”
Apabila roh-roh
mendengar sumpah Allah سبحانه وتعالى, roh-roh pun keluar untuk mencari
jasad mereka. Maka, kembalilah roh pada jasadnya. Bumi pula terbongkar
dan mengeluarkan jasad-jasad mereka. Apabila semuanya sedia,
masing-masing melihat.
Nabi ﷺ duduk di padang
pasir Baitul Maqdis, melihat makhluk-makhluk. Mereka berdiri seperti
belalang yang berterbangan. 70 umat berdiri. Umat Nabi Muhammad ﷺ
merupakan satu umat (kumpulan). Nabi ﷺ berhenti memperhatikan ke arah
mereka. Mereka seperti gelombang lautan.
Malaikat Jibril as
menyeru: “Wahai sekalian makhluk, datanglah kamu semua ke tempat
perhimpunan yang telah disediakan oleh Allah سبحانه وتعالى.”
Umat-umat datang di
dalam keadaan satu-satu kumpulan. Setiap kali Nabi Muhammad ﷺ berjumpa
satu umat, baginda ﷺ akan bertanya: “Di mana umatku?”
Malaikat Jibril a.s. berkata: “Wahai Muhammad! Umatmu adalah umat yang terakhir.”
Apabila nabi Isa a.s. datang, Jibril a.s. menyeru: “Tempatmu!” Maka Nabi Isa a.s. dan Jibril a.s. menangis.
Nabi Muhammad ﷺ berkata: “Mengapa kamu berdua menangis.”
Malaikat Jibril a.s. berkata: “Bagaimana keadaan umatmu, Muhammad?”
Nabi Muhammad bertanya: “Di mana umatku?”
Malaikat Jibril a.s. berkata: “Mereka semua telah datang. Mereka berjalan lambat dan perlahan.”
Apabila mendengar cerita
demikian, Nabi Muhammad ﷺ menangis lalu bertanya: “Wahai Jibril!
Bagaimana keadaan umatku yang berbuat dosa?”
Malaikat Jibril a.s. berkata: “Lihatlah mereka wahai Muhammad ﷺ !”
Apabila Nabi Muhammad ﷺ
melihat mereka, mereka gembira dan mengucapkan selawat kepada baginda ﷺ
dengan apa yang telah Allah سبحانه وتعالى muliakannya. Mereka gembira
kerana dapat bertemu dengan baginda ﷺ . Baginda ﷺ juga gembira terhadap
mereka.
Nabi Muhammad ﷺ bertemu
umatnya yang berdosa. Mereka menangis serta memikul beban di atas
belakang mereka sambil menyeru: “Wahai Muhammad!”
Air mata mereka mengalir
di pipi. Orang-orang zalim memikul kezaliman mereka. Nabi Muhammad ﷺ
bersabda: “Wahai umatku.” Mereka berkumpul di sisinya. Umat-umatnya
menangis.
Ketika mereka di dalam keadaan demikian, terdengar dari arah Allah سبحانه وتعالى seruan yang menyeru: “Di mana Jibril?”
Malaikat Jibril a.s. berkata: “Jibril di hadapan Allah, Tuhan semesta alam.”
Allah سبحانه وتعالى berfirman di dalam keadaan Dia amat mengetahui sesuatu yang tersembunyi: “Di mana umat Muhammad ﷺ ?”
Malaikat Jibril a.s. berkata: “Mereka adalah sebaik umat.”
Allah سبحانه وتعالى
berfirman: “Wahai Jibril! Katakanlah kepada kekasihKu Muhammad ﷺ bahawa
umatnya akan datang untuk ditayangkan di hadapanKu.”
Malaikat Jibril a.s.
kembali di dalam keadaan menangis lalu berkata: “Wahai Muhammad! Umatmu
telah datang untuk ditayangkan kepada Allah سبحانه وتعالى.”
Nabi Muhammad ﷺ
berpaling ke arah umatnya lalu berkata: “Sesungguhnya kamu telah
dipanggil untuk dihadapkan kepada Allah سبحانه وتعالى.”
Orang-orang yang berdosa
menangis kerana terkejut dan takut akan azab Allah سبحانه وتعالى. Nabi
Muhammad ﷺ memimpin mereka sebagaimana pengembala memimpin ternakannya
menuju di hadapan Allah سبحانه وتعالى.
Allah سبحانه وتعالى
berfirman: “Wahai hambaKu! Dengarkanlah kamu baik-baik kepadaKu tuduhan
apa-apa yang telah diperdengarkan bagi kamu dan kamu semua melakukan
dosa!”
Hamba-hamba Allah سبحانه وتعالى terdiam.
Allah سبحانه وتعالى
berfirman: “Hari ini, Kami akan membalas setiap jiwa dengan apa yang
telah mereka usahakan. Hari ini, Aku akan memuliakan sesiapa yang
mentaatiKu. Dan, Aku akan mengazab sesiapa yang menderhaka terhadapKu.
Wahai Jibril! Pergi ke arah Malik, penjaga neraka! Katakanlah kepadanya,
bawakan Jahanam!”
Malaikat Jibril pergi
berjumpa Malik, penjaga neraka lalu berkata: “Wahai Malik! Allah سبحانه
وتعالى telah memerintahkanmu agar membawa Jahanam.”
Malaikat Malik bertanya: “Apakah hari ini?”
Malaikat Jibril
menjawab: “Hari ini adalah hari kiamat. Hari yang telah ditetapkan untuk
membalas setiap jiwa dengan apa yang telah mereka usahakan.”
Malaikat Malik berkata: “Wahai Jibril! Adakah Allah سبحانه وتعالى telah mengumpulkan makhluk?”
Malaikat Jibril menjawab: “Ya!”
Malaikat Malik bertanya: “Di mana Muhammad dan umatnya?”
Malaikat Jibril berkata: “Di hadapan Allah سبحانه وتعالى!”
Malaikat Malik bertanya
lagi: “Bagaimana mereka mampu menahan kesabaran terhadap kepanasan
nyalaan Jahanam apabila mereka melintasinya sedangkan mereka semua
adalah umat yang lemah?”
Malaikat Jibril berkata: “Aku tidak tahu!”
Malik menjerit ke arah
neraka dengan sekali jeritan yang menggerunkan. Neraka berdiri di atas
tiang-tiangnya. Neraka mempunyai tiang-tiang yang keras, kuat dan
panjang. Api dinyalakan sehingga tiada kekal mata seorang dari makhluk
melainkan bercucuran air mata mereka (semuanya menangis).
Air mata sudah terhenti
manakala air mata darah manusia mengambil alih. Kanak-kanak mula beruban
rambut. Ibu-ibu yang memikul anaknya mencampakkan mereka. Manusia
kelihatan mabuk padahal mereka sebenarnya tidak mabuk.
.
.
Rasulullah ﷺ Membela Umatnya
.
Di Padang Mahsyar orang
yang mula-mula berusaha ialah Nabi Ibrahim a.s. Baginda bergantung
dengan asap Arsy yang naik lalu menyeru: “TuhanKu dan Penguasaku! Aku
adalah khalilMu Ibrahim. Kasihanilah kedudukanku pada hari ini! Aku
tidak meminta kejayaan Ishak dan anakku pada hari ini.”
Allah سبحانه وتعالى berfirman: “Wahai Ibrahim! Adakah kamu melihat Kekasih mengazab kekasihnya.”
Nabi Musa as datang.
Baginda bergantung dengan asap Arsy yang naik lalu menyeru: “KalamMu.
Aku tidak meminta kepadaMu melainkan diriku. Aku tidak meminta saudaraku
Harun. Selamatkanlah aku dari kacau bilau Jahanam!”
Nabi Isa as datang di
dalam keadaan menangis. Baginda bergantung dengan Arsy lalu menyeru:
“Tuhanku… Penguasaku.. Penciptaku! Isa roh Allah. Aku tidak meminta
melainkan diriku. Selamatkanlah aku dari kacau bilau Jahanam!”
Suara jeritan dan
tangisan semakin kuat. Nabi Muhammad ﷺ menyeru: “Tuhanku.. Penguasaku
Penghuluku…. !Aku tidak meminta untuk diriku. Sesungguhnya aku meminta
untuk umatku dariMu!”
Ketika itu juga, neraka Jahanam berseru: “Siapakah yang memberi syafaat kepada umatnya?”
Neraka pula berseru:
“Wahai Tuhanku… Penguasaku dan Penghuluku! Selamatkanlah Muhammad dan
umatnya dari seksaannya! Selamatkanlah mereka dari kepanasanku, bara
apiku, penyeksaanku dan azabku! Sesungguhnya mereka adalah umat yang
lemah. Mereka tidak akan sabar dengan penyeksaan.”
Malaikat Zabaniah menolaknya sehingga terdampar di kiri Arsy. Neraka sujud i hadapan Tuhannya.
Allah سبحانه وتعالى
berfirman: “Di mana matahari?” Maka, matahari dibawa mengadap Allah
سبحانه وتعالى. Ia berhenti di hadapan Allah سبحانه وتعالى.
Allah سبحانه وتعالى berfirman kepadanya: “Kamu! Kamu telah memerintahkan hambaKu untuk sujud kepada kamu?”
Matahari menjawab.
“Tuhanku! Maha Suci diriMu! Bagaimana aku harus memerintahkan mereka
berbuat demikian sedangkan aku adalah hamba yang halus?”
Allah سبحانه وتعالى berfirman: “Aku percaya!”
Allah سبحانه وتعالى
telah menambahkan cahaya dan kepanasannya sebanyak 70 kali ganda. Ia
telah dihampirkan dengan kepala makhluk.
Ibnu Abbas r.h. berkata:
“Peluh manusia bertiti dan sehingga mereka berenang di dalamnya.
Otak-otak kepala mereka menggeleggak seperti periuk yang sedang panas.
Perut mereka menjadi seperti jalan yang sempit.”
Air mata mengalir seperti air mengalir. Suara ratap umat-umat manusia semakin kuat.
Nabi Muhammad ﷺ
lebih-lebih lagi sedih. Air matanya telah hilang dan kering dari
pipinya. Sekali, baginda ﷺ sujud di hadapan Arsy dan sekali lagi,
baginda ﷺ rukuk untuk memberi syafaat bagi umatnya.
Para Nabi melihat keluh
kesah dan tangisannya. Mereka berkata: “Maha Suci Allah! Hamba yang
paling dimuliakan Allah سبحانه وتعالى ini begitu mengambil berat, hal
keadaan umatnya.”
Daripada Thabit Al-Bani,
daripada Usman Am Nahari berkata: “Pada suatu hari Nabi ﷺ menemui
Fatimah Az-Zahara’ r.h. Baginda ﷺ dapati, dia sedang menangis.”
Baginda ﷺ bersabda: “Permata hatiku! Apa yang menyebabkan dirimu menangis?”
Fatimah menjawab: “Aku teringat akan firman Allah سبحانه وتعالى.”
“Dan, kami akan menghimpunkan, maka Kami tidak akan mengkhianati walau seorang daripada mereka.”
Lalu Nabi ﷺ pun
menangis. Baginda ﷺ bersabda: “Wahai permata hatiku! Sesungguhnya, aku
teringat akan hari yang terlalu dahsyat. Umatku telah dikumpulkan pada
hari kiamat dikelilingi dengan perasaan dahaga dan telanjang. Mereka
memikul dosa mereka di atas belakang mereka. Air mata mereka mengalir di
pipi.”
Fatimah r.h. berkata: “Wahai bapaku! Apakah wanita tidak merasa malu terhadap lelaki?”
Baginda ﷺ menjawab:
“Wahai Fatimah! Sesungguhnya, hari itu, setiap orang akan sibuk dengan
untung nasib dirinya. Adapun aku telah mendengar firman Allah سبحانه
وتعالى,
لِكُلِّ امْرِئٍ مِّنْهُمْ يَوْمَئِذٍ شَأْنٌ يُغْنِيهِ
“Setiap orang dari
mereka pada hari itu mempunyai urusan yang cukup menjadikannya sibuk
dengan hal dirinya sahaja.” (Surah ‘Abasa, ayat 37)
Fatimah r.h. bertanya: “Di mana aku hendak mendapatkanmu di hari kiamat nanti, wahai bapaku?”
Baginda ﷺ menjawab: “Kamu akan menjumpaiku di sebuah telaga ketika aku sedang memberi minum umatku.”
Fatimah r.h. bertanya lagi: “Sekiranya aku dapati kamu tiada di telaga?”
Baginda ﷺ bersabda:
“Kamu akan menjumpaiku di atas Sirat sambil dikelilingi para Nabi. Aku
akan menyeru: “Tuhan Kesejahteraan! Tuhan Kesejahteraan! Para malaikat
akan menyambut: “Aamiin.”
Ketika itu juga,
terdengar seruan dari arah Allah سبحانه وتعالى lalu berfirman: “Nescaya
akan mengikuti kata-katanya pada apa yang kamu sembah.”
Setiap umat akan
berkumpul dengan sesuatu yang mereka sembah. Ketika itu juga, neraka
Jahanam melebarkan tengkuknya lalu menangkap mereka sebagaimana burung
mematuk kacang.
Apabila seruan dari
tengah Arasy kedengaran, maka manusia yang menyembah-Nya datang
beriring. Sebahagian daripada orang yang berdiri di situ berkata: “Kami
adalah umat Muhammad ﷺ !”
Allah سبحانه وتعالى berfirman kepada mereka, “Mengapa kamu tidak mengikuti orang yang kamu sembah?”
Mereka berkata: “Kami tidak menyembah melainkan Tuhan Kami. Dan, kami tidak menyembah selainNya.”
Mereka ditanya lagi: “Kami mengenali Tuhan kamu?”
Mereka menjawab: “Maha Suci diriNya! Tiada yang kami kenali selainNya.”
Apabila ahli neraka
dimasukkan ke dalamnya untuk diazab, umat Muhammad ﷺ mendengar bunyi
pukulan dan jeritan penghuni neraka. Lalu malaikat Zabaniah mencela
mereka. Mereka berkata: “Marilah kita pergi meminta syafaat kepada
Muhammad ﷺ !”
.
Manusia berpecah kepada tiga kumpulan.
1. Kumpulan orang tua yang menjerit-jerit.
2. Kumpulan pemuda.
3. Wanita yang bersendirian mengelilingi mimbar-mimbar.
.
Mimbar para Nabi
didirikan di atas kawasan lapang ketika kiamat. Mereka semua berminat
terhadap mimbar Nabi Muhammad ﷺ. Mimbar Nabi Muhammad ﷺ terletak
berhampiran dengan tempat berlaku kiamat. Ia juga merupakan mimbar yang
paling baik, besar dan cantik. Nabi Adam as dan isterinya Hawa berada di
bawah mimbar Nabi ﷺ .
Hawa melihat ke arah mereka lalu berkata: “Wahai Adam! Ramai dari zuriatmu dari umat Muhammad ﷺ serta cantik wajah mereka.”
Mereka menyeru: “Di mana Muhammad?”
Mereka berkata: “Kami
adalah umat Muhammad ﷺ . Semua umat telah mengiringi apa yang mereka
sembah. Hanya tinggal kami sahaja. Matahari di atas kepala kami. Ia
telah membakar kami. Neraka pula, cahaya juga telah membakar kami.
Timbangan semakin berat. Oleh itu tolonglah kami agar memohon kepada
Allah سبحانه وتعالى untuk menghisab kami dengan segera! Sama ada kami
akan pergi ke syurga atau neraka.”
Nabi Adam as berkata:
“Pergilah kamu dariku! Sesungguhnya aku sibuk dengan dosa-dosaku. Aku
mendengar firman Allah سبحانه وتعالى: Dan dosa Adam terhadap Tuhannya
kerana lalai.”
Mereka pergi berjumpa
nabi Nuh as yang telah berumur, umur yang panjang dan sangat sabar.
Mereka menghampirinya. Apabila Nabi Nuh as melihat mereka, dia berdiri.
Pengikut (umat Nabi
Muhammad ﷺ ) berkata: “Wahai datuk kami, Nuh! Tolonglah kami terhadap
Tuhan kami agar Dia dapat memisahkan di antara kami dan mengutuskan kami
dari ahli syurga ke syurga dan ahli neraka ke neraka.”
Nabi Nuh a.s. berkata:
“Sesungguhnya, aku sibuk dengan kesalahanku. Aku pernah mendoakan agar
kaumku dimusnahkan. Aku malu dengan Tuhanku. Pergilah kamu berjumpa
Ibrahim kekasih Allah سبحانه وتعالى! Mintalah kepadanya agar menolong
kamu!”
Nabi Ibrahim a.s.
berkata: “Sesungguhnya aku pernah berbohong di dalam usiaku sebanyak
tiga pembohongan di dalam Islam. Aku takut dengan Tuhanku. Pergilah kamu
berjumpa Musa a.s.! Mintalah pertolongan darinya!”
Nabi Musa a.s. berkata:
“Aku sibuk dengan kesalahanku. Aku pernah membunuh seorang jiwa tanpa
hak. Aku membunuhnya bukan dari kemahuanku sendiri. Aku dapati dia
melampaui batas terhadap seorang lelaki Islam. Aku ingin memukulnya. Aku
terperanjat kerana menyakitinya lalu menumbuk lelaki tersebut. Ia jatuh
lalu mati. Aku takut terhadap tuntutan dosaku. Pergilah kamu berjumpa
Isa a.s.!”
Mereka pergi berjumpa
Nabi Isa a.s. Nabi Isa a.s. berkata: “Sesungguhnya Allah سبحانه وتعالى
telah melaknat orang-orang Kristian. Mereka telah mengambil aku, ibuku
sebagai dua Tuhan selain Allah سبحانه وتعالى. Hari ini, aku malu untuk
bertanya kepadaNya mengenai ibuku Mariam.”
Mariam, Asiah, Khadijah
dan Fatimah Az-Zahra’ sedang duduk. Ketika Mariam melihat umat Nabi
Muhammad ﷺ dia berkata: “Ini umat Nabi Muhammad ﷺ . Mereka telah sesat
dari Nabi mereka.”
Suara Mariam, telah
didengari oleh Nabi Muhammad ﷺ Nabi Adam a.s. berkata kepada nabi
Muhammad ﷺ. “Ini umatmu, wahai Muhammad! Mereka berkeliling mencarimu
untuk meminta syafaat kepada Allah سبحانه وتعالى.”
Nabi Muhammad ﷺ menjerit
dari atas mimbar lalu bersabda: “Marilah kepadaku, wahai umatku! Wahai
sesiapa yang beriman dan tidak melihatku. Aku tidak pernah lari dari
kamu melainkan aku sentiasa memohon kepada Allah سبحانه وتعالى untukmu!”
Umat Nabi Muhammad ﷺ berkumpul di sisinya.
Terdengar suara seruan: “Wahai Adam! Ke marilah kepada Tuhanmu!”
Nabi Adam as berkata: “Wahai Muhammad! Tuhanku telah memanggilku. Moga-moga Dia akan meminta kepadaku.”
Nabi Adam a.s. pergi
menemui Allah سبحانه وتعالى. Allah سبحانه وتعالى berfirman kepadanya:
“Wahai Adam! Bangunlah dan hantarkan anak-anakmu ke neraka!”
Nabi Adam a.s. bertanya: “Berapa ramai untukku kirimkan?”
Allah سبحانه وتعالى berfirman: “Setiap seribu lelaki kamu hantarkan seorang ke syurga, 999 orang ke neraka.”
Allah سبحانه وتعالى
berfirman lagi: “Wahai Adam! Sekiranya Aku tidak melaknat orang yang
berdusta dan Aku haramkan pembohongan, nescaya Aku akan mengasihi anakmu
keseluruhannya. Akan, tetapi, Aku telah janjikan syurga bagi orang yang
mentaatiKu Neraka pula bagi orang yang menderhakaiKu Aku tidak akan
memungkiri janji Wahai Adam! Berhentilah di sisi Mizan (timbangan).
Sesiapa yang mempunyai berat pada kebaikannya daripada dosanya walaupun
seberat biji sawi, bawalah dia untuk memasuki syurga tanpa perlu
berunding denganKu! Sesungguhnya Aku telah menjadikan bagi mereka, satu
kejahatan dengan satu dosa. Manakala satu kebaikan dengan sepuluh pahala
agar memberitahu mereka bahawa, sesungguhnya Aku tidak akan memasukkan
mereka ke dalam neraka melainkan setiap yang kembali akan dikembalikan
dengan dosa bagi orang yang melampaui batas.”
Nabi Adam a.s. berkata:
“Tuhanku! Penguasaku! Engkau lebih utama bagi menghisab berbanding aku.
Hamba itu adalah hambaMu dan Engkau Maha Mengetahui sesuatu yang ghaib!”
.
.
والله أعلم بالصواب
Wallahu A’lam Bish Shawab
(Hanya Allah Maha Mengetahui apa yang benar)
0 komentar:
Speak up your mind
Tell us what you're thinking... !